KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun mendedahkan beliau antara ADUN yang dijemput untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas Menteri Bekas Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Menurutnya, jemputan itu dibuat oleh seorang individu yang tidak dinamakan, yang hanya dirujuk bertindak sebagai `broker’.
Namun, kata Ketua Pemuda Pas Perlis berkenaan, sebagai seorang ADUN yang dipilih oleh parti, adab dan prinsipnya adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan Pas Pusat dan Pas negeri.
“Setelah mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terlibat, kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Haziq Asyraf, tindakan tiga ADUN Pas Perlis yang menandatangani SD itu tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi.
Menurut beliau, sekiranya tiga ADUN berkenaan memaklumkan kepada parti berkaitan adanya usaha itu, beliau yakin Pas Pusat tidak akan mengambil tindakan.
Malah, katanya, sekiranya SD tersebut tidak ditandatangani, beliau yakin ruang perbincangan dan islah masih terbuka luas untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman.
“Namun, tindakan tiga ADUN ini yang bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri dengan menandatangani SD tersebut telah melangkaui batas disiplin jamaah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan di dalam Pas, tempat ahli-ahlinya meletakkan ketaatan dan kepercayaan (thiqah) adalah kepada Pas Pusat dan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, apabila satu keputusan telah dikeluarkan oleh Pas Pusat, sama ada suka atau tidak, setuju atau tidak, maka wajib ke atas ahli-ahlinya untuk mematuhinya, memandangkan ia adalah asas jamaah.
“Sekiranya mereka (tiga ADUN) merasakan tindakan tersebut adalah satu bentuk “kebenaran”, maka hakikatnya mereka gagal memahami lafaz baiah yang telah dilafazkan ketika menerima amanah sebagai ADUN.
“Baiah bukan sekadar lafaz, tetapi satu ikatan ketaatan kepada perjuangan dan kepimpinan parti. Saya juga turut melafazkan Bai’ah sebagai ADUN,” katanya.
Sementara itu, Haziq Asyraf berkata, Pas Pusat telah membuat keputusan sangat tepat, melalui proses yang adil dan berintegriti, termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN terlibat untuk bersoal jawab secara langsung dengan Pas Pusat berhubung tindakan mereka.
Malah, ujarnya, beliau sendiri turut hadir dalam pertemuan tersebut sebagai saksi.
“Ketegasan Pas ini juga akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pas sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, khususnya dalam memastikan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis terus terpelihara.
“Apa yang penting adalah menjaga keyakinan rakyat terhadap Pas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan pihak yang cuba mengungkit kelemahan Mohd Shukri ketika menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis sebagai punca kepada isu ini, sedangkan Pas Pusat telah membuat perubahan kepimpinan.
“Pesuruhjaya Pas Negeri telah ditukar, dan bahkan cadangan ahli Badan Perhubungan untuk tidak melantik Shukri sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis juga telah diambil kira dan ditunaikan oleh Tuan Guru Pesuruhjaya Pas Perlis,” katanya. – MalaysiaGazette
















