PUTRAJAYA – Ketaksuban emosi dan identiti dalam kalangan generasi muda hari ini semakin membimbangkan, kata Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Saifuddin Abdul Latiff.

Menurut beliau, golongan muda Islam khususnya, cenderung mendahulukan ‘darah muda’ tanpa tujuan yang jelas dan membelakangi adab serta akhlak.

Pada akhirnya, keadaan itu hanya akan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

“Orang (yang) taksub akan menolak konsep wasatiyah, cepat menghukum tanpa fikir panjang. Inilah situasi orang muda, kerana semangat yang tidak didorong dengan adab.

“Taksub bawa (perasaan) mudah marah dan meninggalkan perbincangan serta dialog,” katanya ketika sebagai salah seorang panel dalam Forum Masyarakat Madani 2025: Menolak Ketaksuban Mempromosi Hikmah di Kompleks Nasyrul Quran, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan rahmah dalam Islam bukan beerti beerti lemah dan berkompromi dengan kebatilan.

Sebaliknya, ia merupakan keyakinan terhadap kebenaran serta tidak takut untuk bertindak berlandaskan adab dan akhlak dengan tujuan yang jelas.

Sehubungan itu, Mohamad Saifuddin berkata, umat Islam perlu tahu bertindak tegas bukannya kasar demi mempertahankan suatu isu berkaitan agama namun tidak tergolong dalam kategori taksub.

“Agama yang berkasih sayang bukan hanya nampak konsep lembut, ada kala perlu tegas dalam suatu isu. Bukan berdiam diri bila timbul suatu masalah tapi bentuk keyakinan dalam kita bertindak,”jelasnya.

Menurutnya, umat Islam perlu faham cara untuk menyuarakan suatu perkara atau isu berkaitan agama dengan ketegasan, berlandaskan hikmah yang perlu difikirkan kesannya kelak.

“Kita menolak kebatilan dalam masa yang sama menegakkan prinsip tarbiyah sebelum berdepan suatu isu,” tambahnya.

Selain itu, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Hasri Harun berkata, sifat melabelkan dan menyesatkan juga dianggap sebagai ketaksuban yang mengundang bahaya.

Ujarnya, tidak dinafikan majoriti umat Islam maklum dan faham tentang agama Islam dan amalan yang dilarang termasuklah tindakan taksub namun tidak mengamalkannya dengan baik.

“Satu lagi taksub yang berbahaya adalah sindir menyindir. Taksub membawa kehancuran. (Ini) bukan kita tidak tahu tapi kita tidak amalkan sebenarnya, sengaja tidak mengamalkan dan memahaminya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Haluan, Prof Dr Solehudin Shuib berkata, golongan professional di dalam negara ini tidak terlepas daripada ketaksuban.

Justeru itu katanya, konsep pemahaman dan penjelasan perlu diamalkan berlandaskan garis panduan yang berhikmah.

“Ramai juga yang dalam kalangana cerdik pandai tapi beri contoh tidak baik. Sebab itu penting untuk kita kenali hakikat Islam yang syumul (Islam yang menyeluruh). Kerana Islam tidak boleh hanya dilihat dari suatu sudut sahaja,” katanya lagi sambil menyatakan bahawa titik persamaan juga penting antara umat Islam.

Sebagai rekod, Forum Masyarakat Madani 2025: Menolak Ketaksuban Mempromosi Hikmah merupakan anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam) bagi menanam sifat menolak ketaksuban dan mempromosikan rahmah dan hikmah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast