Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi. - Foto: harakahdaily

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menyifatkan penubuhan Muafakat Nasional (MN) bukan slogan nostalgia, tetapi keperluan strategik.

Wakil rakyat Pas berkenaan berkata, MN bukan pilihan romantik, tetapi jalan keluar terakhir sebelum kuasa Melayu menjadi cerita sejarah.

Selain itu, ujarnya, MN juga bukan tentang menyatukan parti atas nama kuasa semata-mata, tetapi menyatukan kekuatan politik Melayu supaya suara majoriti kembali berfungsi sebagai penentu, bukan sekadar pemerhati.

Tegasnya, muafakat itu bukan bermaksud semua mesti sama, tetapi bermaksud mendahulukan kepentingan ummah berbanding ego parti.

“Kita boleh berbeza pendekatan, tetapi tidak boleh berpecah hingga menyerahkan kuasa kepada orang lain secara percuma,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Tambah beliau, dalam sistem demokrasi seperti di negara ini, kuasa bukan ditentukan oleh simbol, tetapi oleh angka di Parlimen.

Dalam situasi itu, ujarnya, semua pihak perlu bersikap jujur dengan yang mana kuasa politik orang Melayu sedang melemah kerana kaum itu sedang berpecah.

“Dulu, orang Melayu menguasai landskap politik bukan kerana jumlah semata-mata, tetapi kerana kesatuan.

“Hari ini, orang Melayu berpecah kepada terlalu banyak jalur—UMNO, PAS, Bersatu dan serpihan lain—masing-masing mendakwa paling ikhlas memperjuangkan Melayu dan Islam.

“Akhirnya apa jadi? Kita lemah secara kolektif,” katanya.

Apabila undi Melayu berpecah, tambahnya, majoriti mutlak di Parlimen turut hilang, sekali gus kuasa tawar-menawar jatuh ke tangan pihak lain.

Disebabkan itu, ujar beliau, ia membuka ruang kepada parti bukan Melayu dan blok Borneo untuk menjadi penentu kerajaan.

“Ini bukan sentimen perkauman, ini realiti matematik politik,” katanya.

Lebih membimbangkan, tambahnya, masih ada pemimpin Melayu yang terus menafikan hakikat itu dan bersembunyi di sebalik hujah `sistem masih menjaga Melayu’.

Hakikatnya, ujar beliau, dalam demokrasi moden, siapa yang membentuk kerajaan adalah pihak yang menentukan dasar, bajet dan hala tuju negara.

“Tanpa kesatuan, orang Melayu hanya menjadi penyokong, bukan penentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sibuk dgn saka melayu, melayu, melayu..sudah lebih 60 tahun…tapi habuk pun tiada..cakap tak serupa bikin.. Tahu tahu yg dapat kuasa asyik tambah Alphard, Vellfire, Mercedes dan BINI BINI.

Comments are closed.