Pengunjung menikmati pemandangan indah Sungai Kiulu di Lingga Eco Tourism, Kampung Lingga, Kiulu.

KUALA LUMPUR – Sabah kini semakin menonjol sebagai destinasi utama pelancongan dengan pengiktirafan antarabangsa dan serantau di kawasan luar bandar.

Selain itu, beberapa produk pelancongan komuniti di Sabah turut menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard yang mencerminkan usaha negeri itu dalam membangunkan pelancongan desa yang tersusun dan mampan.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, Kiulu dan Kadamaian antara yang awal menerima latihan kerana menjadi projek perintis pembangunan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti.

“Sejak 2014, STB memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan dan kemahiran kepada komuniti, agar mereka mampu mengurus destinasi sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

“Antara yang sering menjadi rujukan iaitu Koperasi Pelancongan Komuniti Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL) diiktiraf sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh United Nations World Tourism Organization (UNWTO), hasil pendekatan pelancongan berasaskan komuniti dan pemuliharaan.

“Lingga Eco Tourism di Kampung Lingga merupakan antara lima pengusaha di Sabah yang menerima pengiktirafan ASEAN Tourism Standard di peringkat kebangsaan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Pendaki tiba di Pusat Lingga Eco Tourism selepas menamatkan pendakian di Laluan Dapako.

Anugerah itu selaras sasaran kerajaan negeri yang menetapkan Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai agenda utama pelancongan, dengan penekanan terhadap pengalaman pelancongan yang berasaskan komuniti, alam semula jadi dan budaya tempatan.

“Kelebihan di Lingga Eco Tourism adalah ia terletak di kaki bukit dengan Sungai Kiulu yang mengalir di sekitarnya dan menampilkan aktiviti untukmendaki Dapako Hill serta pelbagai pengalaman ‘outdoor’ yang menyeronokkan, menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Malah pengunjung juga boleh mencuba aktiviti air seperti water rafting sambil menikmati keindahan alam semula jadi,” jelasnya.

Pengerusi pelancongan komuniti Lingga Eco Tourism

Sementara itu, Pengerusi Lingga Eco Tourism, Kait Lasangan berkata, setiap aktiviti eko-pelancongan diurus bersama komuniti dengan penduduk tempatan terlibat sebagai pemandu pelancong, petugas penyelenggaraan, dan pengurus aktiviti.

“Sama ada sebagai pemandu arah, kerja gotong-royong atau pembersihan kawasan, semuanya dibayar dan memberi pendapatan kepada penduduk setempat.

“Penglibatan komuniti tempatan bukan sahaja memandu laluan, mereka juga berkongsi cerita kampung dan pengalaman harian, sekaligus menjadikan pengalaman pengunjung lebih dekat dan terasa autentik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast