Tangkap layar klip video tular penunggang motosikal jatuh selepas melawan arus di Jalan Tengku Ismail, Temerloh semalam.

KUANTAN – Polis mengesahkan kejadian penunggang motosikal melawan arus yang berjaya ditahan seperti klip video tular semalam berlaku di Jalan Tengku Ismail, Temerloh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, ketika kejadian, angota daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh sedang menjalankan Op Bersepadu (Samseng Jalanan) berhampiran lokasi terbabit bermula kira-kira 6.45 petang semalam.

Operasi itu dijalankan berikutan aduan dan rungutan orang awam yang tidak tahan dengan tindakan sekumpulan remaja berkumpul, membuat bising serta menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan keselamatan sendiri dan orang awam.

“Menerusi op berkenaan, sebanyak 205 buah motosikal telah periksa dan 190 notis saman telah dikeluarkan terhadap pemilik motosikal di atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambahnya, antara kesalahan dilakukan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.

Mohd Nasyim berkata, sebanyak 17 buah motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan kesalahan serius.

“Pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan lalu lintas.

“Operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai khususnya pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan ketika menunggang motosikal masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast