JOHOR BAHRU – Perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas JB Sentral-Gemas akan ditamatkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Ketua Pegawai Teknikal (memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada penyelarasan perancangan dan pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan selepas sembilan tahun pengoperasiannya.
“Ia sejajar dengan kemajuan serta kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas Johor Bahru. Setelah sembilan tahun pengoperasiannya dan berkhidmat kepada penumpang di sektor selatan.
“Dahulunya, perkhidmatan ini dikenali sebagai Shuttle Selatan, yang membuat perjalanan dari Gemas ke Woodlands dengan nombor tren 61 dan 62.
“Enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang kini beroperasi iaitu No 41, 42, 43, 44, 45 dan 46 akan tamat operasi mulai tarikh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook di sini, hari ini.
Langkah itu juga bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang.
Pada masa yang sama, Ahmad Nizam berkata, KTMB akan terus memperkukuhkan keperluan perjalanan penumpang di sektor selatan menerusi pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) sehingga ke JB Sentral dengan lapan perkhidmatan sehari, mulai 1 Januari 2026.
Menurutnya, dengan lengkapnya perkhidmatan ETS, para penumpang kini menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam di samping menawarkan masa perjalanan lebih efisien serta pengalaman perjalanan lebih selamat dan selesa.
“Bagaimanapun, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral Tumpat JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa dan kekal sebagai pilihan perjalanan utama penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur,” katanya.
Di samping itu, perkhidmatan Shuttle Timuran turut disediakan sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti bagi laluan Gemas-Tumpat.
“KTMB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penumpang dan pengguna setia Ekspres Selatan atas sokongan berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan ini beroperasi terpahat dalam ingatan seluruh warga kerja KTMB.
“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk terus memilih dan menyokong perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan diyakini,” katanya.
KTMB menasihatkan semua penumpang untuk membuat semakan jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi KTMB.
Penumpang juga digalakkan merancang perjalanan lebih awal melalui platform jualan tiket rasmi atau mendapatkan bantuan melalui Pusat Panggilan KTMB.- MalaysiaGazette
















