KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek perolehan Tentera Darat tidak wajar dilihat sebagai kes individu semata-mata.
Sebaliknya, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, siastan SPRM itu perlu dijadikan pencetus reformasi sistemik terhadap ketelusan proses perolehan pertahanan.
Selain itu, menurutnya, siasatan tersebut juga perlu menjadi pencetus reformasi terhadap mekanisme semak dan imbang dalaman; pemantauan bebas terhadap projek bernilai tinggi serta pencegahan konflik kepentingan dalam keputusan strategik.
Tegasnya, bidang pertahanan melibatkan dana awam yang besar dan berisiko tinggi, justeru piawaian integriti mestilah lebih ketat, bukan sebaliknya.
Tambah beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan institusi strategik negara yang menjadi benteng keselamatan dan kedaulatan.
Sehubungan itu, ujarnya, sebarang dakwaan salah laku melibatkan kepimpinan tertinggi perlu ditangani secara profesional, berfakta dan berlandaskan undang-undang, agar tidak mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan pasukan.
“MCW menolak pendekatan sensasi, fitnah atau perbicaraan melalui media sosial yang boleh merosakkan reputasi individu dan institusi sebelum siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Jais berkata, MCW menyeru semua pihak termasuk ahli politik, aktivis, media dan masyarakat supaya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak mempolitikkan siasatan SPRM tersebut.
Selain itu, menurutnya, semua pihak juga digesa tidak membuat kesimpulan awal yang boleh menjejaskan keadilan serta memberi ruang kepada SPRM menjalankan tugas secara profesional.
SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat kerana disyaki terbabit dalam pemberian wang rasuah berkaitan projek perolehan Tentera Darat, dengan siasatan dijalankan secara berperingkat.
Menurut sumber, siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan melibatkan aspek aliran kewangan, dokumentasi perolehan serta kaitan antara individu dan syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazette
















