KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut tahun baharu 2026 kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur serta rakyat Malaysia amnya.
Sempena kehadiran tahun baharu ini, baginda berdua mendoakan seluruh rakyat agar sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, keselamatan, serta kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
“Mudah-mudahan tahun 2026 membawa sinar harapan baharu, kekuatan semangat dan kejayaan dalam setiap cabaran kehidupan yang dilalui,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersatu padu, saling menghormati serta mengamalkan nilai-nilai murni demi memelihara keharmonian masyarakat dan kemakmuran negeri serta negara tercinta.
“Jadikan tahun baharu ini sebagai titik tolak untuk memperkukuh azam, meningkatkan usaha dan memperbaiki diri ke arah masa depan yang lebih gemilang,” tambahnya.
Bersempena kehadiran tahun baharu ini juga, baginda berdua mengajak semua rakyat bersama-sama berdoa agar negeri Pahang dan negara ini dijauhi segala bentuk tragedi serta bala bencana seperti taufan, banjir dan gempa bumi.
“Akhir kata, semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan keberkatan-Nya kepada Negeri Pahang Darul Makmur dan negara Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















