GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Siapa yang bakal menjadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin yang meletakkan jawatan terus menjadi persoalan yang hangat dibincangkan ketika ini.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, bermula esok atau secepat mungkin, Majlis Tertinggi PN yang masih ada perlu segera melantik Pengerusi baharu.

Tambahnya, pelantikan Pengerusi PN baharu itu akan menjadi faktor penentu sangat penting terhadap masa depan gabungan politik tersebut, sama ada terus melangkah ke hadapan atau berundur ke belakang.

Ujar beliau, sekiranya Pas ingin menerajui PN, sudah tentu sosok terbaik untuk menjadi pengerusi adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

Ini kerana, katanya, agak janggal sekiranya Pas menamakan pemimpin lain pada hieraki lebih rendah dalam parti untuk mengetuai PN, meskipun ia mungkin tidak menjadi isu dalam Pas.

“Ini kerana PN adalah gabungan parti-parti politik. Sudah tentu salah seorang ketua daripada parti-parti tersebut sewajarnya mengetuai gabungan tersebut.

“Calon pilihan pula mestilah yang paling berketerampilan, paling berpengaruh dan paling berwatak karismatik antara ketua-ketua parti dalam gabungan.

“Sebab selain sebagai ketua gabungan, pengerusi PN juga adalah bayangan calon PM bagi pihak PN. Inilah tanggapan umum masyarakat awam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menambah, jika Hadi Awang dinamakan sebagai Pengerusi PN, timbul persoalan sama ada pengaruhnya mencukupi untuk mengemudi PN memenangan PRU-16.

Tambah beliau, sekiranya jawatan Pengerusi PN itu diberikan kepada pemimpin lebih rendah dalam Pas, timbul tanda tanya sama ada keputusan luar kebiasaan tersebut mampu memberi keyakinan kepada pengundi.

Ujarnya, dalam PRU-15 dan enam pilihan raya negeri (PRN) pada 2023, PN disifatkan sudah mencapai puncak sokongan daripada orang Melayu.

Sehubungan itu, katanya, untuk memenangi PRU-16, PN perlu mempunyai strategi untuk mendapatkan tambahan undi daripada segmen bukan Melayu pula.

“Isunya jika Abdul Haji atau mana-mana pemimpin Pas mengetuai PN, adakah lantikan ini boleh memberi nilai tambah dalam aspek sokongan bukan Melayu?

“Inilah antara pertimbangan yang dijangka akan diberi perhatian serius oleh MT PN dalam mesyuarat untuk melantik pengerusi baharu nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast