KUALA LUMPUR – Cadangan Pas menamakan presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu disifatkan amat tepat dan wajar.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, cadangan itu selari dengan prinsip hierarki kepimpinan parti.
Menurutnya, adalah tidak sesuai untuk melantik seorang Pengerusi PN daripada kalangan bukan presiden parti memandangkan beliau akan mempengerusikan mesyuarat yang dianggotai oleh presiden-presiden parti komponen lain yang bertindak sebagai Timbalan Pengerusi PN.
Sementelah, ujar beliau, presiden parti merupakan individu yang memegang mandat tertinggi dalam struktur parti masing-masing.
“Saya tidak pasti mengenai struktur dalaman Pas namun kebiasaannya dalam kebanyakan parti politik, kuasa eksekutif tertinggi terletak pada presiden.
“Oleh itu, melantik Pengerusi PN dalam kalangan timbalan atau naib presiden atau pihak luar berpotensi menimbulkan kekeliruan dari sudut mandat ahli, bidang kuasa serta kuasa membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyaatan hari ini.
Terdahulu, beberapa pemimpin Pas hari ini menyokong cadangan melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Pengerusi PN yang disifatkan sebagai satu langkah tepat.
Mereka termasuk Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, timbalan, naib presiden serta wakil-wakil parti komponen yang menjadi anggota Majlis Tertinggi (MT) PN tetap mempunyai peranan penting berdasarkan jawatan yang disandang dalam PN.
Ujarnya, tanpa memegang jawatan pengerusi sekali pun, mereka masih boleh menyumbang secara signifikan kepada keberkesanan PN.
Namun, tambahnya, komitmen yang tinggi amat diperlukan termasuk kewajipan hadir dalam setiap mesyuarat Majlis Tertinggi PN; menetapkan sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang jelas serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan bersungguh-sungguh.
“Sekiranya setiap anggota MT PN berperanan secara komited, insya-Allah PN akan menjadi semakin kuat di masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















