KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mencekup seorang duda dan seorang wanita berstatus ‘anak dara’ berkhalwat dalam sebuah khemah di sebuah kampung di daerah ini kelmarin.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan penguat kuasa pukul 3.30 pagi selepas menjalankan siasatan di sebuah rumah dalam kampung tersebut.
Menurutnya, keadaan di luar rumah ketika itu gelap sebelum penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan mendapati pintu utama rumah tidak berkunci.
“Pemeriksaan lanjut dalam rumah setingkat itu menemukan sebuah khemah berwarna merah dipasang di ruang tamu tetapi tidak menemukan sebarang individu di luar khemah berkenaan.
“Bagaimanapun, beberapa minit kemudian seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an keluar diikuti seorang wanita dipercayai dalam lingkungan usia sama beberapa minit kemudian.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan berstatus duda dan wanita terbabit pula masih anak dara. Kedua-duanya mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram,” maklum kenyataan tersebut.
Menurut JAINJ, rumah berkenaan milik lelaki terbabit dan sedang dalam proses ubah suai daripada rumah papan kepada rumah batu namun masih belum siap sepenuhnya.
Hasil pemeriksaan dalam khemah turut menemukan tilam, bantal, selimut serta pakaian lelaki dan wanita.
Malah siasatan juga mendapati wanita terbabit dipercayai kerap bermalam di rumah berkenaan sebelum ini.
“Pasangan terbabit juga memaklumkan mempunyai hasrat untuk berkahwin namun belum mengemukakan sebarang permohonan pernikahan yang sah.
Kedua-duanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor sebelum dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















