JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang berdepan banjir kilat hampir pada setiap hujung tahun kini diuji pula apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya terbakar di Kampung Sepakat Baru, Skudai di sini pada 20 Disember lalu.
Rainah Buntat, 67, berkata, kejadian itu berlaku pukul 1 pagi pada 20 Disember lalu ketika dia bersama-sama anak dan cucunya berada dalam rumah.
“Saya bersama-sama tiga cucu berusia antara dua hingga enam tahun sedang tidur dalam bilik bersama-sama anak perempuan berusia 29 tahun manakala anak lelaki yang berusia 47 tahun tidur di bilik berasingan.
“Mujur anak lelaki saya dapat menghidu asap dan segera menyelamatkan kami sebelum api marak, namun kami tidak dapat membawa keluar dokumen penting milik ahli keluarga.
“Dalam sekelip mata, rumah kami musnah dan hanya Allah saja dapat membayangkan perasaan saya ketika itu terutama memikirkan nasib cucu,” katanya.
Ibu tunggal itu berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai RM1,600 daripada Pengerusi Persatuan Perpaduan Sepakat Skudai, Azmi Basiran di rumahnya baru-baru ini.
Rainah berkata, buat masa ini, dia menjaga semua cucunya selepas anak lelakinya berusia 40 tahun berpisah dengan isteri dan bekerja di luar daerah.
“Saya memiliki lima anak namun semua mereka hanya bekerja biasa selain sesetengahnya memikul tanggungjawab menyara keluarga masing-masing.
“Buat masa ini, kami tidak mampu untuk membaik pulih rumah dan hanya menyewa sebuah rumah di kawasan perkampungan sama,” ujarnya.
Dia dan keluarga juga bercadang untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi meringankan beban.
Tambahnya, kebakaran itu menyebabkan keluarganya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 apabila keseluruhan rumah musnah termasuk sebuah kereta keluarga dan tiga motosikal.
Sementara itu Azmi yang juga Pengerusi Ahli Komuniti Bomba merangkap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sepakat Baru berkata, pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan bekalan makanan kepada keluarga berkenaan selama setahun bagi meringankan beban mereka.
“Mereka memang orang susah dan dugaan mereka hadapi kali ini memang besar namun warga emas itu masih tabah memberi jagaan kepada tiga cucunya termasuk seorang yang bakal ke darjah satu serta seorang lagi ke tadika pada tahun depan,” katanya.- MalaysiaGazette
















