Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menuntut agar UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan susulan pimpinan komponennya gagal menghormati garis merah orang Melayu dan Islam.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO tidak boleh terus berada dalam sebuah kerajaan yang menuntut parti Melayu itu menelan penghinaan dan memejam mata terhadap pencabulan maruah.

“Saya sendiri pernah bagi amaran, sekiranya ‘red line’ ini dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan dan tentang habis-habisan!

“Maka hari ini, kebiadaban ini wajib kita hentikan. Oleh itu, Pemuda UMNO dengan tegas menuntut agar UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dengan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan lagi kita berdiri di dalam sebuah Kerajaan yang gagal menghormati garis merah orang Melayu dan Islam,” katanya menerusi ucapan dasarnya sempena Konvensyen Khas Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Gelagat pemuda UMNO yang hadir pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan” ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2026.

Dr Akmal berkata, UMNO sedia menjadi pembangkang yang bermaruah, berwibawa dan berprinsip daripada berada di dalam kerajaan tanpa harga diri.

“Dahulu UMNO diminta menyertai kerajaan kerana kerusi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Hari ini keadaannya berbeza, kerajaan sudah stabil, walaupun tanpa 26 kerusi UMNO.

“Selama tiga tahun, UMNO bukan sekadar melengkapkan angka. UMNO bekerja dan menyumbang kepada negara. Malah Saudara Rafizi Ramli sendiri mengakui, menteri-menteri UMNO adalah antara yang paling berprestasi dalam kerajaan.

“Tetapi apabila prinsip kerjasama ini mula dicabuli, apabila maruah dan garis perjuangan tidak lagi dihormati, maka biarlah mereka teruskan urusan pentadbiran kerajaan tanpa UMNO,” katanya.

Dr Akmal juga berkata, Pergerakan Pemuda UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha ‘tebuk atap’, lebih-lebih lagi yang datang dalam kalangan UMNO sendiri.

“Kita tidak mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang. Kita tidak mahu merampas kuasa melalui helah. Kita mahu UMNO menang kembali dengan mandat rakyat, bukan dengan muslihat politik. Ini jelas dan tiada kompromi!

“Biarlah sejarah mencatat satu perkara dengan jelas, UMNO tidak pernah tumbang kerana kalah pilihan raya, tetapi UMNO akan musnah jika tunduk tanpa maruah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast