Gelagat pemuda UMNO yang hadir pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan" ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO sedia menutup ‘cerita lama’ namun tidak akan melupakan tindakan rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang memijak maruah dan menginjak harga diri orang Melayu Islam di negara ini.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sudah sampai masanya UMNO dan Pas menggerakkan nadi kekuatan orang Melayu menerusi penyatuan ummah.

“Hari ini kita tutup cerita lama. Bukan untuk lupa, tetapi untuk belajar. Kerana kesannya sudah jelas, bila Melayu berpecah, orang lain galak menyusun langkah, kita pula sibuk menuding salah menyalah.

“Penyatuan mega ini mesti dimulakan dengan dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas, sekali gus menjadi pelopor utama dalam menggerakkan nadi kekuatan orang-orang Melayu.

“Jika Melayu itu majoriti, tetapi kuasanya dipecahkan, maka majoriti itu tinggal angka tanpa sebarang makna.

“Sejarah membentangkan bukti, apabila dua parti besar Melayu berpecah, yang rugi adalah orang Melayu di akar umbi,” katanya menerusi ucapan dasar Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia “Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan” ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. MOHD ADZLAN, 03 JANUARI 2026.

Dr Akmal juga mengajak semua orang Melayu termasuk di dalam UMNO dan Pas untuk mengetepikan perselisihan faham dan menghentikan pertikaman lidah demi menyuburkan semula Muafakat Nasional (MN).

“Saya sekali lagi ingin mengajak semua orang Melayu yang selama ini merajuk, marah dan bergaduh, untuk menyuburkan jiwa besar dan kembali bermuafakat demi kepentingan nasional.

“UMNO bersedia untuk menjadi wadah kepada penyatuan ini atas nama tanggungjawab politik kepada Agama, Bangsa, Raja dan Tanah Air.

“Penyatuan ini bukan untuk nostalgia mahupun untuk romantisme sejarah. Tetapi untuk survival orang Melayu sendiri,” katanya.

Dr Akmal berkata, Konvensyen Khas Pemuda UMNO bukan berhimpun untuk berlagak kuat, mahupun menunjuk taring kosong, tetapi untuk mengingatkan parti tentang denyut nadinya sendiri.

“Akar umbi adalah nadi parti. Jika nadi yang dipaksa senyap, tidak mati mengejut, ia mati perlahan-lahan. Ia mati tanpa upacara. Ia mati tanpa pengumuman. Ia mati kerana terlalu ramai memilih selesa berbanding jujur.,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast