KULAI – Dua maut termasuk seorang tercampak keluar selepas pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dinaiki terbabas ke longkang di Kilometer 46.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Hanafie Eksan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 5.09 pagi.
Susulan itu katanya, seramai lima anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kirra-kira 30 kilometer.
“Terdapat tiga mangsa dalam kenderaan tersebut. Dua mangsa, Zulhayati Asmat, 50, dan Muhamad Rahiman Zul, 26, cedera dan tersepit manakala seorang lagi mangsa, Yunos Md Nor, 42, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan.
“Pihak bomba mengeluarkan yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkan mereka kepada ambulans dan pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Namun seorang daripadanya maut semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi menyelamat mangsa itu tamat pukul 6.29 pagi. – MalaysiaGazette
















