PUTRAJAYA – Tiada gunanya reformasi institusi sekiranya rakyat masih tidak memahami segala perubahan yang dilakukan Kerajaan Madani sama ada dasar mahupun penambahbaikan undang- undang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan memperbanyakkan sesi libat urus.
“Saya harap 2026 Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan memperbanyakkan pendekatan town hall seperti yang selalu saya lakukan dalam pendekatan tribunal anti buli.
“Mungkin kita kena juga mengkaji tentang memberikan satu kefahaman dan mengusahakan mungkin satu konvensyen.
“Kita mungkin bincang supaya yang sangat penting rakyat mesti memahami perubahan-perubahan reformasi institusi yang dibuat oleh kerajaan.
“Tak guna undang-undang dibuat yang NGO minta, CSO memberikan pandangan-pandangan bernas, rakyat biasa tidak memahami kelebihan perubahan-perubahan yang kita lakukan,” katanya berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Bahagian Undang- Undang dan Reformasi Institusi (UURI), di sini, hari ini.
Menurut Azalina, masih ramai pihak bertanyakan sejauh mana reformasi institusi memberi kelebihan kepada kerajaan memerintah khususnya dalam menambah tahap sokongan.
“Ramai orang tanya saya macam mana reformasi institusi boleh memberi kita undi (sokongan), kalau kita tanya orang politik.
“Biasalah orang-orang di kawasan luar bandar khasnya ada atau tak ada Parlimen, dia tengok break and isu parti, dia tengok isu ekonomi, isu kebajikan dan isu pendidikan anak-anak di sekolah.
“Ini semua dia akan tengok tapi macam mana undang-undang dan reformasi institusi ini dilihat sebagai sesuatu yang boleh memanfaatkan sebagai penduduk dan pembayar (cukai),” katanya.
Selain itu, Azalina melahirkan rasa bimbang rakyat tidak melihat keadaan sebenar perubahan-perubahan dan reformasi institusi yang dilakukan kerajaan hingga menimbulkan salah tanggap.
“Saya kadang-kala khuatir bila kita cakap tentang perubahan implementasi itu lambat dan rakyat pun tak faham, malah merasakan kerajaan ini bercakap tetapi tidak melaksanakan janji yang diperkatakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















