Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.

KUALA LUMPUR – Tahun 2026 akan menjadi fasa penting dengan tumpuan kepada keberkesanan pelaksanaan dasar, penyampaian perkhidmatan lebih pantas dan manfaat yang jelas dirasai rakyat bukan sekadar merangka dasar semata-mata.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, memasuki tahun baharu, kerajaan mengambil iktibar daripada cabaran dan pengalaman sepanjang 2025 yang menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi dan dasar bagi memperkukuh tatakelola, merancakkan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.

“Memasuki tahun 2026, fokus tahun ini bukan sekadar merangka dasar, tetapi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun, penyampaian yang lebih pantas dan manfaat yang lebih nyata dan jelas dirasai segenap lapisan rakyat,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut beliau, pendekatan itu menuntut disiplin pelaksanaan yang lebih tinggi, penyelarasan antara agensi yang lebih kemas serta penekanan serius terhadap keberkesanan dasar di peringkat lapangan.

Tunku Nashrul Abaidah turut menegaskan sokongan, kesabaran dan kepercayaan rakyat sepanjang 2025 menjadi asas penting yang membolehkan Kerajaan Madani terus melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang lebih jelas dan berfokus.

Seiring itu, kerajaan akan terus memperkukuh komunikasi strategik sebagai jambatan antara dasar dan rakyat, memastikan maklumat disampaikan jelas, konsisten dan berfakta serta memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan dan peluang yang tersedia.

Dalam perkembangan antarabangsa, Tunku Nashrul memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Türkiye dari 6 hingga 8 Januari ini.

Lawatan itu bagi memperkukuh hubungan dua hala termasuk pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan serta mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua-dua negara.

“Lawatan ini turut merangkumi perbincangan mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang yakni perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan syarahan umum dan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Türkiye serta diaspora Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast