KUALA LUMPUR – Industri pembinaan Malaysia dijangka merekodkan pertumbuhan bernilai tinggi pada tahun 2026, didorong oleh kemajuan projek infrastruktur, pengembangan sektor perindustrian serta peningkatan keperluan kitar hayat bangunan yang semakin berusia, menurut Nippon Paint Malaysia.
“Unjuran ini disokong oleh projek infrastruktur yang mencapai peringkat penting, pengembangan sektor industri dan pembuatan termaju, serta permintaan berterusan bagi kerja-kerja pengubahsuaian kediaman,” kata Tay Sze Tuck, Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia.
Jangkaan ekonomi turut menunjukkan sektor pembinaan Malaysia berpotensi mengekalkan pertumbuhan kukuh sekitar 6.1% pada 2026.
Digabungkan dengan hala tuju strategik dan peruntukan perbelanjaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), industri kini bergerak ke arah projek yang lebih khusus dan bernilai tambah tinggi.
Seiring dengan unjuran ini, Nippon Paint Malaysia memberi tumpuan menyediakan Penyelesaian Salutan & Pembinaan Bersepadu Menyeluruh (TCCS) yang memenuhi keperluan sektor yang sentiasa berkembang, merangkumi aspek ketahanan, keselamatan, kelestarian serta prestasi jangka panjang.
Projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) kini memasuki fasa struktur akhir, kemasan dan sistem, yang mana keperluan bahan menjadi semakin khusus.
“Kemajuan projek-projek berskala besar ini memerlukan penggunaan mortar drymix yang boleh dipercayai, sistem kalis air, lantai industri salutan seni bina dan perlindungan, serta bahan pengedap dan pelekat (SAF) yang mesti berfungsi sebagai satu sistem bersepadu,” ujar beliau.
Peruntukan RM81 bilion di bawah Bajet 2026 untuk pembangunan awam mengukuhkan permintaan terhadap bahan binaan yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan menyokong objektif jumlah kos pemilikan (TCO).
Tambahnya, segmen hartanah industri merangkumi pembuatan, gudang dan logistik rantaian sejuk juga terus berkembang selari dengan usaha Malaysia memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan pemprosesan bernilai tinggi.
Pada 2026, penglibatan utama Nippon Paint tertumpu kepada loji pembuatan, kemudahan penyimpanan, persekitaran pemprosesan makanan dan kompleks industri lain yang memerlukan bahan binaan berprestasi tinggi.
“Lantai industri bukan lagi keputusan di belakang tabir. Sama ada kilang makanan atau fasiliti elektronik, lantai memainkan peranan besar terhadap kebersihan, keselamatan pekerja dan kesinambungan operasi.
“Sistem lantai industri FloorShield Nippon Paint merangkumi epoksi bebas pelarut, poliuretana (PU) berpelarut dan epoksi aras sendiri, direka untuk menahan beban berat, pendedahan bahan Kimia serta keperluan kebersihan yang ketat.
“Pelanggan industri kini menaikkan tahap piawaian. Mereka mahukan sistem yang diperakui, mematuhi piawaian yang ditetapkan dan serasi,” tambahnya.
Selain itu, kata Sze Tuck, lebih separuh bangunan komersial dan kediaman di Malaysia kini berusia lebih 20 tahun, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap pemulihan struktur dan permukaan.
“Pembaikan semula akan menjadi segmen penting pada 2026 apabila pemilik bangunan mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan, berbanding pembaikan sementara dan pendekatan TCCS.
“Nippon Paint menawarkan penyelesaian sehenti merangkumi pengecatan semula, kalis air semula, lantai semula dan pengedapan semula, disokong oleh diagnosis punca masalah, pemeriksaan keserasian sistem dan bahan berkejuruteraan.
“Penjimatan sebenar datang daripada menyelesaikan masalah di punca, bukan di permukaan, sekali gus mengelakkan kegagalan berulang dan memberi ketenangan kepada pemilik,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















