KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 1 Januari lalu telah melaksanakan Ops Kesan 5.0 untuk memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak lima pendekatan yang digunakan dalam operasi kali ini.
Antaranya proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula tahun lalu, katanya.
Jelas Azman, data tersebut akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang meliputi sebanyak 316 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga;
“Memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itum KPDN menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan.
Ujarnya, ia perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.
Terdahulu itu, Azman berkata, Ops Kesan 5.0 dilaksanakan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2.
Sehubungan itu, beliau berharap kementerian berkenaan menerusi operasi tersebut akan dapat mengesan mana-mana pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan.
“Sekali gus mengekang aktiviti pencatutan ekoran pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2 yang telah berkuat kuasa,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















