JOHOR BAHRU – Penduduk Mersing dan Kota Tinggi perlu bersedia berikutan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) esok dan lusa.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan Pejabat Daerah Mersing dan Kota Tinggi, bersama-sama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta agensi berkaitan untuk berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.
“Selain itu pemantauan rapi terhadap paras sungai dan taburan hujan juga akan dilaksanakan secara berterusan.
“Buat seluruh Bangsa Johor, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku pada 7 dan 8 Januari ini.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan hujan berterusan, yang boleh mengakibatkan banjir kilat, banjir rendah, peningkatan paras sungai serta gangguan pergerakan dan operasi lapangan, khususnya di kawasan berisiko,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) kepada lima negeri termasuk Johor. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















