Sumber: Kesultanan Pahang

KUANTAN – Istana Pahang menafikan dakwaan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ada menawarkan bantuan wang tunai kepada orang ramai melalui platform media sosial dan Whatsapp.

Menerusi kenyataan di laman media sosial rasmi Kesultanan Pahang, penafian itu dibuat susulan mesej yang disebar kepada orang ramai menggunakan nama ‘Tengku Azizah/Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’.

Menurut Istana Pahang, mesej itu hanya memperdaya masyarakat dengan tawaran bantuan wang lumayan sambil meminta maklumat peribadi mangsa.

“Istana Pahang menegaskan perbuatan tersebut adalah cubaan penipuan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan imej institusi diraja,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati, bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran palsu yang disebarkan menerusi media sosial.

Orang ramai juga digesa segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau menerima sebarang mesej yang mencurigakan atas nama Tengku Ampuan Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast