Profesor Dr. Raman Noordin.

KUALA LUMPUR – Inisiatif Dapur Siswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengumpulkan sebanyak 1,150 kilogram beras (115 kampit beras) yang dimanfaatkan oleh kira-kira 3,500 pelajar sejak dilancarkan November tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Raman Noordin, ketika ini, inisiatif itu dibuka di dua buah kolej kediaman di kampus induk UMS di Kota Kinabalu, melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurutnya, pada masa sama, Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan sedang dalam pembinaan dan dijangka siap bulan depan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan sokongan kebajikan pelajar.

“Inisiatif ini akan terus diperkasa dan diperluas ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Raman, bagi menjamin kelangsungan operasi Dapur Siswa, pelbagai kempen telah dilaksanakan seperti Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras dan penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa.

Menurutnya, kempen itu turut menggalakkan kakitangan dan masyarakat sekitar memberikan sumbangan selain mewujudkan masyarakat yang prihatin dan meningkatkan ‘sense of belonging’ dalam kalangan kakitangan.

Sementara itu, beliau menyifatkan penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi program Dapur Siswa seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, khususnya dari aspek keperluan asas makanan.

Ujarnya, inisiatif dan peruntukan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu amat bertepatan dalam menangani isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan pelajar, sekali gus memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran dan pembangunan diri di menara gading.

“Dengan peruntukan khas itu, lebih ramai mahasiswa boleh dibantu khususnya di UMS yang mana 70 peratus pelajar adalah dari kalangan B40,” katanya.

Tambah beliau, UMS melalui entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan terus menyokong dan bekerjasama rapat dengan KPT serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada mendapatkan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian, selaras dengan aspirasi pembentukan ekosistem pembelajaran yang sejahtera dan berteraskan nilai madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast