Lebih 100 pendtabir universiti awam dari 20 universiti berkumpul di Kampus USIM di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu pagi sempena program VCORE Tadabur Alam anjuran PRAGMATIS.

NILAI – Lebih 100 pentadbir universiti daripada 20 universiti awam seluruh negara menyertai Program Tanggungjawab Sosial Universiti Awam Malaysia (VCORE) bertemakan “Tadabur Alam” yang berlangsung di Denai Warisan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Sabtu lalu.

Program yang menghimpunkan pegawai tadbir dari pelbagai skim perkhidmatan merupakan salah satu pengisian utama bersempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2026 yang dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pegawai Tadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Program VCORE kali ini diterajui oleh Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM (PRAGMATIS) dengan matlamat bukan sahaja memperkukuh jaringan dan hubungan silaturahim dalam kalangan pentadbir universiti awam, malah menyemai kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial warga universiti.

Menurut Presiden PRAGMATIS, Dr. Mohd Hilmi Masor@Mansor, VCORE kali ini berkonsepkan santai dan kerohanian bagi memberi peluang kepada para peserta untuk menghayati keindahan alam semula jadi sambil melakukan aktiviti fizikal dalam suasana yang lebih dekat dengan alam.

“Penganjuran program seumpama ini ibarat serampang dua mata kerana ia juga dilihat mampu memperkukuh hubungan strategik antara pegawai pentadbir universiti awam melalui platform yang lebih santai, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan jaringan kerjasama antara institusi” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Presiden I MASTI.

Pengisian program dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha dan tazkirah, sesi Senaman Tua, yang menjadi aktiviti pemanas badan sebelum peserta bergerak secara berkumpulan menelusuri Denai Warisan USIM sepanjang kira-kira 1.5 kilometer.

Laluan tersebut memberikan pengalaman berbeza kepada peserta apabila mereka berpeluang menikmati kehijauan persekitaran kampus dan tasik universiti sambil menghayati keindahan alam.

Aktiviti berjalan kaki sepanjang denai turut menjadi medium untuk para peserta berinteraksi secara santai di luar suasana kerja rasmi.

Kemuncak program menyaksikan para pentadbir mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman pokok buah-buahan di penghujung laluan denai. Antara pokok yang ditanam termasuk mangga, rambutan, petai, jambu bol dan durian belanda.

Aktiviti penanaman pokok tersebutt membawa mesej mengenai kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar dan sikap tanggungjawab bersama dalam memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Sementara itu, bersempena Hari Pentadbir Universiti Awam pada kali ini, MASTI turut menganjurkan Majlis Anugerah Gemilang Pentadbir Universiti Awam (MAGMA) bagi mengiktiraf kecemerlangan para pentadbir di peringkat kebangsaan.

Pada majlis ini, PRAGMATIS menerima Anugerah Persatuan Pentadbir Unggul dan Anugerah Program Unggul manakala dua pentadbir USIM turut cemerlang apabila Pengarah Pusat Libatsama Industri dan Jaringan Masyarakat USIM, Dr Hammad Farhi Mohd Saudi dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Pentadbir (Emas) manakala Pegawai Undang-undang, Puan Nur Zahidah Zulkefli menerima Anugerah Khas Juri (Pentadbir Gemilang).

Program VCORE “Tadabur Alam” memperlihatkan bagaimana warga universiti boleh memainkan peranan dalam membudayakan gaya hidup sihat, menghargai alam sekitar serta memperkukuh nilai kemasyarakatan dalam kehidupan seharian.

Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam 2026 cukup bermakna pada kali ini kerana turut meraikan Ulang Tahun Jubli Perak MASTI (2001-2026). Selain VCORE dan MAGMA, turut juga berjaya dianjurkan adalah Konvensyen Pentadbir Universiti Malaysia (KPUA) bertempat di Institut Kemahiran dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Penganjuran pelbagai progran sempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam membuktikan bahawa peranan pentadbir universiti bukan hanya tertumpu kepada aspek pengurusan dan pentadbiran institusi, malah turut merangkumi pelbagai peranan utama lain dalam memacu universiti ke arah kecemerlangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here