PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi menetapkan sasaran pada tahun ini sebagai tahun pertama melaksanakan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir berkata, pihak akan memastikan setiap dasar yang dibuat akan diterjemahkan kepada program, inisiatif atau projek yang akhirnya sampai kepada rakyat mengikut kumpulan sasaran yang betul.
Pelaksanaan itu akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bersama kepada semua warga kementerian menerusi keazaman, iltizam, kemahuan dan kerja berfokus.
“Kerajaan Madani komited sepenuhnya untuk memastikan setiap strategi dalam RMK13 ini tidak sekadar tertulis di atas kertas sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, tersusun dan memberi impak kepada rakyat.
“Fasa pelaksanaan ini akan menjadi penentu hala tuju ekonomi negara dalam mendepani landskap global yang semakin mencabar.
“Dalam masa yang sama, ia memperkukuh usaha kita untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dengan membina ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing setanding negara maju,” katanya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Kementerian Ekonomi Bulan Januari Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menambah, dalam memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan mengikut perancangan dengan menaikkan siling dan lantai serta memperkukuhkan tatakelola baik, aspek penyelarasan dan pemantauan perlu diberi keutamaan.
Kata beliau, ia termasuk pelaporan kemajuan yang telus serta tindakan pembetulan yang pantas apabila diperlukan.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa pemantauan gerak kerja RMK13 akan terus diperkukuh melalui Kerangka Pemantauan Rancangan Malaysia Lima Tahun.
“Bukan sahaja dengan memantapkan peranan jawatankuasa sedia ada seperti Pasukan Petugas Khas (TWG), Kumpulan Penasihat Bebas (IAPG), Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) malah kita telah melangkah lebih jauh melalui pendigitalan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) yang merangkumi perincian seperti KPI serta senarai agensi pelaksana menerusi Sistem MyRMK.
“Oleh itu, dengan saya menyeru semua warga Kementerian Ekonomi dan semua agensi melaksanakan gerak kerja pelaksanaan dan pemantauan RMK13 secara sepenuh hati dan menyeluruh bagi memastikan objektif dan sasaran tercapai seperti yang dirancang.
“Ini merupakan tanggungjawab besar yang menjadi keutamaan Kementerian Ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette
















