Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) semalam berpatah balik ke CDG sejurus selepas berlepas.

Malaysia Airlines dalam satu kenyatan hari ini memaklumkan, keputusan berpatah balik itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan (anomaly) pada penunjuk enjin.

“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan kawalan trafik udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan, bagi memudahkan pesawat berpatah semula dengan selamat ke CDG untuk pemeriksaan teknikal.

“Pesawat tersebut mendarat dengan selamat pada pukul 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penumpang yang terjejas telah ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif, manakala sebahagian yang lain ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang.

Ujarnya, penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan hari ini.

“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap rancangan perjalanan para penumpang terlibat.

“Bagaimanapun, keselamatan kekal sebagai keutamaan Malaysia Airlines,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris semalam.

Penerbangan MH21 dari CDG itu berlepas pada pukul 11.55 pagi waktu tempatan (CET), iaitu kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast