KUALA LUMPUR – Mengorak ke arah langkah pendigitalan sebuah syarikat pengendali parkir, TimeTec Parking memulakan sistem pembayaran DuitNow QRPay yang pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TimeTec, Teh Hon Seng berkata, dengan cara berkenaan, pengguna kini boleh membayar parkir dengan pengalaman yang lancar tanpa sentuhan dan sepenuhnya tanpa tunai.
“Penyelesaian inovatif ini menggabungkan teknologi parkir pintar TimeTec dengan piawaian pembayaran QR yang diseragamkan di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan.
Kaedah pembayaran tersebut berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Plat Kenderaan (LPR) yang membolehkan proses automatik sepenuhnya dari lorong masuk hingga lorong keluar.
Ujarnya, pengguna dengan mudah boleh melengkapkan pembayaran serta-merta dengan mengimbas kod QR dinamik menggunakan mana-mana eWallet atau aplikasi perbankan yang menyokong piawaian DuitNow.
“Apabila kenderaan memasuki lokasi parkir, sistem LPR merekod nombor plat sebagai rujukan kemasukan. Apabila kenderaan keluar, sistem mengira caj dan menjana kod QR DuitNow yang unik serta dinamik pada skrin LCD di lorong keluar,” menurutnya.
Mengulas lanjut, Hon Seng optimis kaedah baharu tersebut berpotensi menjadi lebih popular dalam industri parkir.
“Selain itu, bagi pengguna yang telah memaut nombor plat kenderaan mereka dengan eWallet TnG, Setel, GoNet atau aplikasi Flexi, mereka boleh memasuki dan keluar dari kawasan parkir yang dikuasakan TimeTec secara lancar tanpa perlu berhenti untuk membuat pembayaran.
“Sistem eWallet Direct akan menolak terus caj parkir secara automatik daripada eWallet yang didaftarkan. Gabungan DuitNow QRPay dan eWallet Direct menetapkan penanda aras baharu untuk kemudahan tanpa tunai serta kecekapan operasi dalam ekosistem parkir Malaysia,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















