Gambar ihsan Maritim.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot tunda luar negara bersama-sama tongkang ditahan pada kedudukan 0.4 batu nautika barat laut Pulau Besar di sini 6 Januari lalu.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot tunda dan tongkang dari Singapura itu ditahan pada pukul 11 malam oleh pasukan peronda maritim ketika melaksana Op Jaksa/Op Tiris 3.0.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua bot tunda bersama-sama tongkang yang membawa bijih timah disyaki melakukan kesalahan tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pula mendapati, semua 17 kru daripada kedua-dua bot tunda tersebut adalah warga Indonesia berumur 34 hingga 51 tahun termasuk Nakhoda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata, nakhoda dan semua kru dibawa ke Jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasandi laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast