Syed Hussein beramah mesra dengan murid yang menyertai program gunting rambut percuma anjuran Pemuda UMNO Kluang di Bandar Kluang, hari ini

KLUANG – Pemuda UMNO Bahagian Kluang hari ini menganjurkan program gunting rambut percuma untuk 500 murid yang akan memulakan sesi persekolahan baharu yang akan bermula pada Isnin ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, kira-kira 100 murid akan digunting rambutnya bermula awal pagi secara bergilir-gilir hingga lewat petang ini di lima buah kedai yang sudah dipilih.

Syed Hussein ya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, program itu sebagai satu inisiatif membantu ibu bapa membuat persiapan akhir persekolahan anak-anak di samping mengurangkan kos perbelanjaan mereka.

“Program ini juga melibatkan semua kawasan dalam Parlimen Kluang dan terbuka kepada semua murid sama ada pelajar sekolah rendah atau menengah.

“Alhamdulilah, hasil daripada pemerhatian yang dilakukan keatas semua lima kedai gunting, program ini mendapat sambutan daripada ibu bapa dan kuota ditetapkan seramai 500 orang mencapai sasaran.

“Program ini juga adalah sebagai satu khidmat masyarakat disediakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang dalam membantu masyarakat setempat dan telah dilaksanakan setiap tahun sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Syed Hussein berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kesik Barber di Kampung Tengah di sini hari ini.

Sementara itu, bapa kepada dua murid yang menyertai program itu, Rosli Amir, 45, berkata, penyediaan khidmat gunting percuma itu amat membantu pihaknya mengurangkan kos perbelanjaan anak-anak masuk ke sekolah.

Katanya, jika bergunting di kedai biasa, setiap seorang memerlukan kos antara RM8 hingga RM10 dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai memulakan persekolahan perlu berbelanja besar.

“Alhamdulilah, program ini amat membantu kami dan diharapkan ia dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast