KULAI – Seorang remaja lelaki memberi alasan sakit perut dan mahu tumpang tandas semasa ditangkap khalwat dengan seorang wanita warga Indonesia di sebuah hotel bdi sini tengah malam tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memberitahu, pihaknya melakukan serbuan pukul 12.30 tengah malam dan pintu bilik tidak dibuka serta-merta apabila diketuk.
Menurut Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lelaki tersebut memberi alasan mahu menumpang tandas kerana sakit perut selepas makan malam bersama-sama.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki tersebut mengambil masa kira-kira lima minit sebelum membuka pintu bilik hotel dan kelihatan hendak lari namun dihadang anggota penguat kuasa JAINJ.
“Wanita berusia 22 tahun itu menyorok di dalam tandas ketika pemeriksaan dijalankan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka bukan suami isteri dan berstatus bujang,” maklum kenyataan itu.
Menurut JAINJ, remaja itu membawa keluar teman wanitanya dari asrama wanita dengan menaiki motosikal untuk makan malam bersama pukul 8.30 malam.
“Oleh kerana asrama wanita ditutup pada 10 malam dan tak sempat menghantar wanita itu pulang, mereka telah mendaftar masuk bilik hotel atas nama lelaki itu.
“Lelaki tersebut memberi alasan mahu menumpang tandas kerana sakit perut selepas makan malam bersama-sama.
“Apabila ditanya kenapa mereka berdua di bilik itu, lelaki kata untuk menghantar wanita sahaja, mereka hanya baring sambil tengok TikTok dan tak buat apa-apa yang nakal.”
Tambah kenyataan tersebut, lelaki berkenaan tidak berhasrat untuk berkawin dengan wanita terbabit sebab masih belasan tahun serta belum berkemampuan.
Pasangan ini ditahan atas kesalahan khalwat di bawah seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette
















