Cubaan seludup benih tembikai selepas dikesan mengemukan maklumat mengelirukan. - Foto AKPS KLIA

PUTRAJAYA –  Cubaan menyeludup masuk benih tembikai dari Taiwan yang bernilai lebih RM140,000 berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA selepas dikesan mengemukan maklumat mengelirukan.

AKPS dalam kenyataan berkata, rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan pada Permit Import MAQIS di Free Commercial Zone (FCZ), KLIA, Kargo pada jam 12 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas satu konsainan yang didapati mengandungi komoditi produk pertanian benih tembikai dengan butiran pengimportan yang tidak selaras dengan maklumat yang dikemukakan.

“Konsainan itu dipercayai diimport dari Taiwan oleh sebuah syarikat tempatan dan hasil rampasan melibatkan 49.50 kilogram (kg) benih tembikai dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM141,143.15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua barangan itu dirampas bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana disyaki mengemukakan maklumat yang mengelirukan berkaitan pengimportan.

“AKPS KLIA menegaskan komitmen berterusan dalam memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan biosekuriti negara serta pematuhan terhadap perundangan yang berkuat kuasa,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast