KUALA LUMPUR – Seorang pemain bola sepak tempatan cedera ringan di kepala selepas dipukul seorang individu dari pasukan lawan ketika beraksi pada perlawanan persahabatan di Padang Bola Sepak RRI Sungai Buloh pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dan menyertai perlawanan persahabatan bersama pasukannya kira-kira pukul 10.56 malam sebelum insiden berlaku.
“Punca kejadian dipercayai kerana mengejek pengadu. Pengadu mengalami kecederaan tisu lembut di kepala dan telah menerima rawatan,” katanya.
Kes ini hanya melibatkan seorang individu dan siasatan sedang dijalankan, jelas beliau.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian kira pukul 4.24 petang dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digesa hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz bin Seleman di talian 016-4507492. – MalaysiaGazette
















