Sebahagian peserta yang menyertai Program Larian Patriotisme 2026 UiTM Cawangan Negeri Sembilan, semalam.

REMBAU – Seramai 700 pelajar Kursus Kokurikulum Semester 1, 2 dan 3 menyertai Program Larian Patriotisme 2026 UiTM Cawangan Negeri Sembilan bagi menzahirkan komitmen generasi muda terhadap semangat nasionalisme dan cintakan negara dalam landskap masyarakat yang semakin mencabar.

Program yang bermula seawal 7 pagi semalam berlangsung di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, diserikan dengan penyertaan besar-besaran mahasiswa, menjadikannya antara program pembukaan tahun paling signifikan dari segi penglibatan belia di kampus tersebut.

Penganjuran program ini sebagai pendekatan strategik  membina kesedaran kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin, pembuat dasar dan tenaga profesional negara pada masa hadapan.

Program ini dianjurkan oleh Unit Kesatria dan Kokurikulum UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Komander Kesatria, sebagai sebahagian daripada Program Patriotisme UiTM Seluruh Malaysia.

Inisiatif ini merupakan cetusan idea dan aspirasi YBhg. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, yang digerakkan oleh seluruh cawangan UiTM sebagai usaha bersepadu membentuk DNA Patriotisme pelajar UiTM melalui penglibatan aktif dan pengalaman bermakna.

Selain Larian Patriotisme, program ini turut melibatkan Simposium Patriotisme, yang berperanan sebagai platform intelektual untuk menyemai kefahaman belia terhadap sejarah, identiti nasional dan tanggungjawab warganegara dalam konteks Malaysia moden.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Zulhilmi bin Mohd Yunus berkata, program ini bukan sekadar acara kokurikulum, sebaliknya merupakan intervensi pembangunan belia yang berimpak tinggi.

“Program Larian Patriotisme ini menjadi ruang untuk membina kesedaran nasionalisme secara praktikal, inklusif dan relevan dengan jiwa anak muda,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan aktiviti fizikal, nilai patriotisme dan penglibatan kolektif belia mampu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja sihat dari segi fizikal, malah matang dari sudut pemikiran, nilai dan tanggungjawab sosial.

Beliau mahu agar program seumpama ini dapat diperluaskan dengan penglibatan komuniti setempat pada masa hadapan, sekali gus merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan masyarakat dalam usaha menyemai semangat cintakan negara secara berterusan.

Penganjuran program ini mencerminkan kesungguhan UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang memiliki jati diri nasional, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, selari dengan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembinaan negara bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast