Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyelar pihak yang disifatkan propembangkang yang mempersoalkan mengenai komposisi Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang didakwa dikuasai bukan Melayu.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, dalam sesi angkat sumpah yang berlangsung sebelum ini, seramai 10 daripada 23 Ahli Majlis MPKj merupakan orang Melayu.

Malah beliau juga difahamkan seorang lagi Ahli Majlis MPKj yang juga Melayu akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat bagi mencukupkan kuota 24 ahli majlis kesemuanya seperti termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan.

“Maknanya, 11/24 adalah Melayu iaitu lebih kurang 45 peratus. YDP (Yang Dipertua) dan majoriti pengarah dan kakitangan MPKj juga adalah Melayu.

“Majlis Perbandaran Kajang meliputi kawasan dengan demografi campuran walaupun majoriti penduduk adalah Melayu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Terdahulu, beberapa laman media sosial propembangkang mempersoalkan komposisi lantikan Ahli Majlis MPKj dengan menyifatkan hanya `beberapa kerat’ Melayu dalam lantikan tersebut.

Tambah Syahredzan, kaum dan agama seseorang ahli majlis tidak wajar dijadikan ukuran dalam menilai sama ada mereka mampu memberikan khidmat baik kepada rakyat.

Ujarnya, sentimen perkauman sempit itu menjejaskan hubungan antara kaum dan perlu ditolak serta tidak wajar dibawa dalam urusan majlis perbandaran.

“Kepada Ahli Majlis MPKj yang baharu dilantik untuk penggal 2026-2027, harapan saya adalah anda semua berkhidmat dengan baik untuk para penduduk.

“Jangan pedulikan mereka yang mahu pecah-belahkan orang kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast