Foto: FB Mustapha Sakmud.

KUALA LUMPUR – Penduduk di kawasan berisiko susulan bencana banjir di Sabah dan Sarawak diingatkan sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau memantau rapi perkembangan musibah banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di Sarawak terutamanya di daerah Serian; Samarahan; Bintulu; Mukah; Miri dan Sibu ketika ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, situasi banjir di Sarawak terus mencabar apabila 41 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dan kini menempatkan seramai 3,690 orang mangsa.

Ujar beliau, agensi terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma); Angkatan Pertahanan Awam (APM); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); bomba serta agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan telah digerakkan sepenuhnya ke semua kawasan terjejas.

Tambahnya, koordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak terus dipergiat bagi memastikan semua aset dan bantuan sampai dengan segera kepada mereka yang memerlukan.

“Saya juga difahamkan bahawa amaran hujan berterusan masih dikeluarkan di beberapa lokasi yang berisiko, justeru itu kebersamaan seluruh agensi penyelamat di lapangan amat diperlukan untuk mempercepatkan proses pemindahan, keselamatan serta bantuan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, meskipun situasi di Sabah semakin reda, beliau turut memantau secara aktif perkembangan 367 mangsa banjir yang masih berlindung di dua PPS di daerah Beufort.

Dalam masa sama, katanya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar juga sedang giat menjalankan program gotong-royong bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di sekitar Parlimen Sepanggar yang terkesan.

“Saya mendoakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan, ketabahan dan dilindungi daripada sebarang kecelakaan.

“Marilah kita bersama-sama menyantuni dan membantu saudara-saudara kita yang terjejas dalam ujian ini,” katanya.

Ujarnya, beliau akan terus memantau perkembangan terkini bencana di kedua-dua negeri itu supaya keselamatan penduduk terus menjadi prioriti pihak berwajib di lapangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast