KUALA LUMPUR – Seramai 20,450 individu terlibat dalam 18,352 kes berkait aktiviti pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah berjaya ditahan Polis Kontinjen Kuala Lumpur sepanjang tahun 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
Ia dilakukan mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 3,174 kes kategori bekalan direkodkan dengan 4,265 tangkapan manakala kategori permintaan melibatkan 4,833 kes dan 5,930 tangkapan.
“Bagi kategori ujian air kencing pula, sebanyak 10,345 kes dan tangkapan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya, seramai 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Sitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM14 juta melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.
“Sepanjang 2025, pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan 1,085 tan berjaya dirampas dengan nilai RM1.105 bilion,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 24,149 barang kes dadah dengan berat 2,185 kilogram (kg) bernilai RM44 juta melibatkan kes dari tahun 2009 hingga 2024 telah dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebanyak 3,527 kertas siasatan melibatkan kes dari tahun 1993 hingga 2016 turut dilupuskan,” ujarnya.
Fadil menegaskan, JSJN Kuala Lumpur akan meneruskan operasi bagi mengekang jenayah dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Polis berharap masyarakat akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN ditalian 012-2087222,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















