Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa orang ramai agar tidak menuding jari atau menyalahkan keseluruhan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan isu integriti dan budaya tidak sihat yang dilaporkan baru-baru ini.

Beliau berkata, kes aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya ‘yeye’ dan tular di media sosial itu hanyalah pelanggaran peraturan melibatkan sebahagian kecil warga ATM bukan mencerminkan keseluruhan pasukan.

“Saya kesal apabila melihat maklum balas sebahagian rakyat Malaysia yang seolah-olah menganggap kejadian ini sebagai satu budaya yang telah lama wujud dalam kalangan semua warga ATM.

“Saya berharap semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak menyalahkan semua atau menuding ke arah ATM seolah-olah semua anggotanya terlibat dengan perkara sedemikian,” katanya pada sidang media selepas Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan, pihaknya tidak mahu moral serta semangat anggota ATM terjejas akibat kutukan dan persepsi tidak rasional yang dilemparkan oleh masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar memberi sokongan kepada usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kepimpinan ATM dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat.

“Adalah tidak adil untuk menyalahkan semua anggota ATM sedangkan sebahagian besar daripada mereka sanggup berkorban demi negara,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan isu ‘yeye’, Mohamed Khaled memaklumkan siasatan terhadap 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit hampir selesai dijalankan.

Menurutnya, siasatan turut melibatkan pelanggaran peraturan termasuk larangan membawa masuk minuman keras serta menerima kehadiran tetamu bukan daripada kalangan ahli keluarga.

“Perkara ini memang mempunyai peraturan yang jelas dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman maksimum dibuang kerja,” ujarnya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di dalam kawasan Pangkalan Udara Subang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast