KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan pengguguran tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM2.8 juta yang sedang dihadapinya ketika ini.
Zizie Izette yang juga merupakan seorang pelakon, didakwa bersubahat dengan Bung Moktar berkaitan kelulusan Felcra Berhad untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual ketika Allahyarham memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif agensi berkenaan.
Peguam bela Zizie Izette, Datuk Seri K Kumaraendran ketika dihubungi media telah mengesahkan perkara tersebut hari ini.
Difahamkan permohonan representasi itu telah dihantar kepada AGC pada 24 Disember tahun lalu bagi mendapatkan pengguguran atau pengurangan pertuduhan terhadap tertuduh.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan AGC.
Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 16 Januari ini bagi pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan terkini kes tersebut.
Akibat keputusan itu, perbicaraan bela diri Zizie Izette yang sepatutnya bermula hari ini tidak diteruskan.
Mahkamah pada tarikh sama juga akan dimaklumkan mengenai status representasi tersebut serta hala tuju prosiding melibatkan Bung Moktar.
Untuk rekod, Zizie Izette didakwa pada 3 Mei 2019 atas tiga pertuduhan bersubahat menerima wang tunai RM2.8 juta sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, meninggal dunia pada 5 Disember lalu. – MalaysiaGazette
















