Rahimie merakamkan gambar bersama delegasi dari CelcomDigi serta pelajar-pelajar UMS.

KOTA KINABALU – Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Duta Pelajar menerusi Program CelcomDigi X UMS Student Ambassador: S.A.F.E Internet Awareness bagi meningkatkan kesedaran keselamatan internet, etika penggunaan teknologi serta pencegahan penipuan digital dalam kalangan komuniti setempat.

Program hasil kolaborasi strategik antara CelcomDigi Berhad dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu turut melibatkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP), selaras usaha memperkukuh jaringan universiti–industri–komuniti.

Dekan FPEP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, penglibatan pihak industri seperti CelcomDigi merupakan satu usaha murni berteraskan tanggungjawab sosial korporat dalam membentuk masyarakat yang harmoni, maju dan stabil, khususnya melalui pemerkasaan literasi digital serta keselamatan internet.

“Program ini dirangka secara sistematik dan tersusun bagi memastikan impak yang signifikan kepada kumpulan sasar, terutama dalam mendepani ancaman keselamatan siber dan penipuan digital yang semakin membimbangkan seiring
perkembangan teknologi masa kini.

“Para pelajar yang dilantik akan menerima latihan menggunakan modul khas yang disediakan oleh CelcomDigi merangkumi aspek keselamatan internet, penggunaan teknologi secara beretika serta langkah-langkah pencegahan scam,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di The Hotelab, FPEP UMS baru-baru ini.

Menurut Rahimie, Duta Pelajar yang terpilih akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program khidmat komuniti secara berfasa melibatkan kampung serta sekolah rendah dan menengah di sekitar UMS.

Tambahnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membolehkan pemindahan ilmu berlaku secara berkesan, malah melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkeyakinan dan berkeupayaan berperanan sebagai ejen penyebaran kesedaran
digital kepada rakan sebaya serta komuniti setempat.

“Ini selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, pembinaan komuniti mampan serta perkongsian strategik pelbagai agensi.

“Dari sudut pelajar, program ini menjadi platform pembangunan diri melalui peningkatan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, di samping memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab sosial,”
katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast