Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menuntut supaya sasaran minimum 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan parti ditetapkan secara rasmi dan dimaktubkan dalam Perlembagaan UMNO.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penyertaan wanita tidak boleh terhad kepada peranan sebagai jentera pilihan raya atau penggerak kempen semata-mata, sebaliknya perlu diangkat sebagai pembuat dasar dan penentu hala tuju parti.

Berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, beliau menegaskan sasaran 30 peratus itu bukan tuntutan emosi atau retorik persidangan, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh parti.

Menurutnya, pelaksanaan dasar berkenaan perlu dibuat secara berperingkat dan terancang, termasuk dengan menetapkan garis masa yang jelas.

Tegas beliau, UMNO perlu menunjukkan keseriusan melaksanakan agenda tersebut selaras dengan perubahan landskap politik dan peranan wanita dalam masyarakat.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa UMNO mengambil peranan sebagai pelopor kepada penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi memperkukuh ketelusan dan integriti sistem politik negara.

Katanya, akta itu penting bagi memastikan semua sumbangan politik direkodkan dan didedahkan secara telus, selain mengenal pasti identiti penderma bagi mengelakkan fitnah serta tohmahan.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dan Ahli Parlimen Parit Sulong itu, pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bukan ancaman kepada UMNO, sebaliknya langkah melindungi demokrasi dan membuktikan kesungguhan parti untuk melakukan perubahan.

Jelasnya lagi, UMNO perlu tampil berani memimpin agenda reformasi politik selepas melalui pelbagai proses transformasi dalaman. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast