KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan Selangor untuk merealisasikan projek ladang ternakan babi didakwa mencerminkan keangkuhan kuasa melampau dan kegagalan membaca sensitiviti rakyat.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail mendakwa, ia bukan sahaja mencabar kesabaran rakyat bahkan tiada kepedulian implikasi kepada alam sekitar, kesihatan awam, kesejahteraan komuniti setempat dan keharmonian sosial.
“Rekod pencemaran sungai, pengurusan sisa toksik serta pencemaran bau akibat ladang ternakan babi bukan lagi bersifat teori, sebaliknya fakta yang berulang kali menghukum rakyat Selangor.
“Ia jelas bercanggah dengan pendirian dan kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu penternakan babi di sekitar Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada 8 Januari lalu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjung Sepat terus beroperasi di lokasi masing-masing untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan.
Dalam pada itu, Fariz menegaskan, seorang Exco tidak diberikan mandat untuk bertindak sebagai tuan tanah apatah lagi membuat keputusan strategik yang mencabar sensitiviti majoriti rakyat tanpa rundingan awam telus, penilaian impak serta kelulusan berpaksikan kepentingan awam.
“Sikap angkuh ini memperlihatkan satu hakikat yang amat membimbangkan. Kerajaan Negeri Selangor semakin selesa mentadbir tanpa akauntabiliti, tanpa tanggungjawab moral dan tanpa rasa hormat terhadap suara rakyat serta institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya menegaskan Selangor bukan makmal eksperimen dasar yang boleh diuji sesuka hati oleh segelintir elit politik. Rakyat bukan statistik, bukan mangsa, dan sama sekali bukan bahan uji kaji,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya kerajaan negeri masih berdegil mempertahankan cadangan ini, saya tidak teragak-agak untuk menggerakkan tekanan politik, bantahan awam dan tindakan bersepadu. – MalaysiaGazette
















