PETALING JAYA – Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolah perempuannya di Bandar Utama disahkan berupaya untuk membela diri dan mengikuti prosiding perbicaraan, berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri yang dikemukakan kepada Mahkamah Majistret hari ini.
Peguam mewakili tertuduh, Kitson Foong berkata, laporan penilaian mental yang dijalankan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak telah siap sepenuhnya dan dibentangkan kepada mahkamah.
Daripada hasil laporan tersebut mendapati pakar psikiatri mengesahkan tertuduh berada dalam keadaan mental yang membolehkannya memahami pertuduhan serta memberi arahan kepada peguam bagi tujuan pembelaan diri, menurutnya.
“Mahkamah menerima dapatan pakar tertuduh berupaya untuk membela diri. Ini merupakan perkara paling penting pada peringkat ini kerana ia menentukan sama ada kes boleh diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lobi mahkamah hari ini.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Amira Sariaty Zainal.
Kitson berkata, mahkamah turut mengarahkan supaya tertuduh ditempatkan di Pusat Koreksional Kanak-Kanak Puncak Alam, Selangor bermula hari ini.
Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh dibawa keluar sekali setiap bulan bagi tujuan temujanji pemantauan kesihatan mental, termasuk memastikan rawatan serta pengambilan ubat-ubatan yang ditetapkan oleh pakar psikiatri diteruskan.
Mahkamah juga mengambil kira aspek kesihatan lain melibatkan tertuduh, termasuk rawatan pergigian kerana tertuduh memakai pendakap gigi.
“Mahkamah mengarahkan supaya tertuduh dibawa untuk rawatan pergigian secara berkala kerana kegagalan mendapatkan rawatan boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya lagi.
Kitson juga memaklumkan, mahkamah telah menetapkan 6 Februari ini sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi mendapatkan perkembangan daripada pihak pendakwaan berhubung status kes.
“Ini termasuk sama ada pertuduhan akan diteruskan di Mahkamah Majistret atau dipindahkan ke mahkamah lebih tinggi.
“Pihak pendakwaan masih perlu meneliti secara menyeluruh semua laporan berkaitan, termasuk laporan psikiatri dan forensik sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan tertuduh dibawa keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta pada pagi ini selepas selesai semua sesi penilaian dan temu janji rawatan sebelum hadir ke mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober.
Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Namun bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, mangsa ditemui dalam keadaan parah di kawasan tandas perempuan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital dan polis menahan suspek pada hari sama dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan.
Dalam sidang media selepas itu, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, menjadikan kes ini antara insiden serangan di sekolah paling ekstrem yang pernah dilaporkan dalam negara. – MalaysiaGazette
















