Nadia Kesuma

KUALA LUMPUR – Kehilangan Nadia Kesuma disedari pihak agensi umrah yang disertainya apabila pelakon itu tidak berkumpul di lokasi yang ditetapkan semasa penerbangannya ke London sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Agensi umrah Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd menjelaskan, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim bersama 21 jemaah lain yang menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris telah diberikan taklimat oleh Ketua Rombongan Nuh Travel

Ini termasuk lokasi untuk berkumpul semula bagi meneruskan perjalanan selepas masing-masing selesai urusan peribadi seperti ke tandas dan berehat.

Pihak agensi umrah tersebut turut menguruskan proses daftar masuk dan mengeluarkan dua pas masuk penerbangan kepada beliau, masing-masing bagi sektor Kuala Lumpur – Jeddah dan Jeddah – Heathrow (London).

“Namun demikian, ketika semua jemaah telah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya ke London, Puan Nadiah didapati tidak berada bersama kumpulan. Ketua rombongan telah segera memaklumkan perkara ini kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak lapangan terbang seterusnya membuat pengumuman awam sebanyak tiga kali dengan menyebut nama beliau agar segera ke balai berlepas.

Usaha pencarian turut dilakukan oleh ketua rombongan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun beliau masih gagal ditemui,

Oleh kerana tempoh menunggu yang lama dan arahan operasi penerbangan, pesawat tersebut akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau.

Katanya, perkara tersebut segera dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Nuh Travel di Malaysia dan tindakan pantas diambil dengan menghubungi petugas mereka di Mekah dan Jeddah.

Berita tersebut turut dimaklumkan kepada suami beliau serta pihak muassasah Nuh Travel & Tours di Arab Saudi.

Usaha pencarian juga digerakkan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.

Katanya, percubaan untuk menghubungi telefon bimbit beliau juga telah dibuat, namun tiada sebarang jawapan diterima dan mesej yang dihantar masih belum dibaca setakat ini.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Puan Nadiah masih belum dapat dikesan, dan pihak kami terus komited menjalankan usaha pencarian secara aktif bersama pihak berkuasa di Arab Saudi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pihak Nuh Travel & Tours meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang tidak sahih kerana ia boleh menganggu proses siasatan dan pencarian.
Agensi umrah itu juga memohon doa daripada semua pihak agar Nadia Kesuma segera ditemui. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast