KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor perlu bergerak secara solo untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu yang dijadual tahun depan berdasarkan situasi semasa yang tidak memberi masalah kepada parti gabungan itu.
Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Othman Jais berkata, rakyat negeri itu juga sudah dapat menilai pencapaian dan kemajuan yang diterajui BN sejak merdeka selain pentadbiran ketika ini yang dipimpin anak muda.
Malah jelasnya, hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan terjalin dengan lancar apabila segala dasar dan pelaksanaan dapat dilakukan hasil kerjasama jabatan dan agensi yang mantap.
“Kalau kita lihat berdasarkan pengalaman kita yang ada, kita lebih mudah bergerak secara solo. Kerana kita yakin bahawa masyarakat sebenarnya di Johor, BN telah membuktikan segala-galanya sejak kita merdeka hinggalah pada hari ini kita tidak ada menghadapi masalah.
“Apatah lagi dengan pimpinan negeri Johor sekarang ini diterajui oleh orang muda yang banyak pengalaman walaupun mungkin masih ada kekuangan tetapi kita dengan kerjasama dengan semua peringkat khususnya orang yang membuat dasar dan juga pelaksanaan, kita mendapat kerjasama daripada jabatan agensi yang cukup mantap di Johor.
“Jadi kita ini hubungan antara pembuat dasar dan juga pelaksanaan dasar, Alhamdulillah kita tak ada menghadapi masalah. Jadi kita yakin kalau pilihan raya yang lepas, kita dapat menguasai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding dengan 56 kerusi yang ada, jadi kita lihat juga sebagai contoh dalam beberapa Pilihan Raya Kecil kita telah membuktikan bahawa sokongan pengundi kepada Barisan Nasional nampaknya makin bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagang Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan PRN Johor tidak akan dibuat lebih awal kerana pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik mendakwa PRN Johor mungkin diadakan tahun ini sehingga wujud desakan agar BN Johor nyatakan pendirian sama ada akan bergerak solo atau bekerjasama.
Pada PRN Johor lalu, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN negeri.
Mengulas lanjut, mengenai kerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Othman berpendapat, UMNO perlu belajar daripada kelemahan yang timbul pada PRU15.
“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 mungkin ada kekurangan dan kita rasa kita terlepas pandang, jadi kita sudah belajar apa yang berlaku pada waktu itu.
“Tetapi kita telah banyak buat perubahan dan tindakan yang saya rasa dilihat oleh masyarakat nampaknya suka tak suka, dulu orang akan mengatakan PN atau BN adalah segala-galanya.
“Kita tidak dapat nak menepis isu-isu yang ada dalam keadaan yang dikatakan terdesak, kerana kelemahan kita mungkin soal media sosial di mana kita kalah di situ,” katanya. – MalaysiaGazette
















