MELAKA – Harga pasaran telur ayam di Melaka didakwa mengalami kenaikan secara berperingkat hampir setiap minggu sejak sebulan lalu, berpunca daripada masalah penyakit di ladang ayam pembekal yang menjejaskan pengeluaran.
Peniaga, Nasarudin Md Delan, 58, berkata, kenaikan berlaku sekitar tiga sen sebiji setiap kali harga diselaraskan sehingga harga telur Gred A kini mencecah RM15 sepapan 30 biji manakala RM14.70 Gred B setakat 25 Ogos lalu.
Menurutnya, kenaikan itu berlaku beberapa kali dalam tempoh kira-kira sebulan menyebabkan peniaga terpaksa mengikut kenaikan harga yang ditetapkan pembekal.

“Setiap minggu naik walaupun tak banyak, sekitar tiga sen setiap kali tapi sekarang sudah cecah RM15 sepapan setakat bekalan diterima pada 25 Ogos lalu untuk Gred A dan RM14.70 Gred B.
“Jadi kami pun kena ikut naik tiga sen menjadikan harga telur ketika ini jauh lebih tinggi berbanding ketika tempoh subsidi sebelum ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pasar Besar Bachang di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Sim Kang Hai, 70, berkata, kenaikan harga yang diterima daripada pembekal tidak semestinya berlaku kerana terdapat juga penurunan harga berdasarkan keadaan bekalan.
“Tapi bila harga naik antara alasan yang dimaklumkan pembekal ialah pengeluaran telur berkurangan, termasuk kemungkinan ayam menghasilkan telur pada kadar lebih rendah akibat keadaan cuaca.
“Sekarang kenaikan harga dalam sebulan ini sekitar berlaku antara tiga hingga empat sen sebiji,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mohd Nazri Mohd Nor, 48, kenaikan harga yang ketara berlaku selepas pembekal memaklumkan terdapat masalah penyakit di ladang ayam yang menjejaskan pengeluaran.
Dakwanya, harga bagi telur Gred C yang diterimanya sebelum ini sekitar RM12.30 sepapan, sebelum meningkat secara berperingkat kepada RM12.60; RM13.20 dan kemudiannya mencecah RM15.30.
“Bila saya tanya pembekal kenapa naik mereka terangkan terdapat masalah penyakit di ladang ayam, menyebabkan pengeluaran berkurangan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Nazri berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, keadaan berkenaan lazimnya tidak berpanjangan dan harga dijangka kembali stabil selepas tempoh tertentu apabila pengeluaran pulih.
Katanya, margin keuntungan peniaga juga kecil, sekitar 30 hingga 50 sen bagi satu papan, menyebabkan kenaikan harga pembekal tidak boleh diserap sepenuhnya oleh peniaga.
Seorang peniaga, Lim, berkata harga telur yang dijualnya kini berada pada paras yang stabil sejak kira-kira tiga minggu lalu, selepas berlaku pelarasan harga sebelum ini.
Jelasnya, harga telur Gred C sekitar 48 sen sebiji, manakala Gred A kira-kira 50 sen. – MalaysiaGazette
















