KUALA LUMPUR – Permohonan maaf Rex Tan bekas wartawan Free Malaysian secara terbuka dan peletakkan jawatannya tidak boleh dijadikan sandaran kepada tidak adanya keperluan penahanan dan penyiasatan ke atasnya setelah apa yang berlaku.
Persatuan Tenaga Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) menegaskan, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan memiliki undang-undang yang wajib dipatuhi.
Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang khususnya yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Sehubungan itu, tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang merakamkan keterangan dan menahan Rex Tan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 sewajarnya dihormati dan tidak dipersoalkan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
MJTS menegaskan isu yang berlaku ini bukanlah melibatkan perbezaan pandangan terhadap pelaporan atau cara soal jawab tetapi jelas meletakkan pelabelan terhadap kaum tertentu khususnya orang Melayu sebagai nasionalisme eksklusif sayap kanan yang membentuk Xenophobia.
Ini adalah sangat tidak selari dengan aspirasi negara yang mengamalkan kesederhanaan dan saling hormat menghormati antara semua kaum dan etnik di negara ini, ujarnya.
MJTS berkata, pihaknya kesal dan membantah terhadap pelabelan oleh Tan terhadap orang-orang Melayu sebagai nasionalisme eksklusif sayap kanan yang membentuk Xenophobia terhadap bangsa Cina di Malaysia.
Kenyataan yang dibuat pada 12 Januari 2026 ketika sesi soal jawab beliau bersama ahli politik Britain, George Galloway bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” jelas dilakukan dengan penuh sedar dan bernada perkauman yang boleh menjurus kepada rasa benci antara kaum di Malaysia.
MJTS juga menolak pelabelan oleh Tan bahawa permasalahan orang-orang Cina di Malaysia adalah sama dengan orang-orang Arab Palestin di Israel.
“la adalah satu kenyataan liar, berniat jahat dan cuba memecah belahkan perpaduan kaum di Malaysia. Tidak ada penghapusan etnik, pengambilan tanah secara paksa, pengasingan kawasan kediaman (Ghetto), menghadkan penyertaan dalam pekerjaan tertentu, pencatuan terhadap bekalan makanan mahupun bekalan air terhadap mana-mana kaum, serta yang lebih utama semua kaum di Malaysia adalah dijamin haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” tegas MJTS. – MalaysiaGazette
















