12 Bangladeshi immigrants detained by immigration, on January 18, 2026.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang dikenali sindiket “Iqbal” dengan menahan 12 warga Bangladesh menerusi operasi khas membanteras penyeludupan migran yang dijalankan semalam, hasil risikan dan maklumat awam yang diterima.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.

Operasi tertumpu di sebuah premis yang dijadikan “Rumah Penampungan” bagi migran yang dibawa masuk ke dalam negara melalui laluan yang tidak sah.

Premis berkenaan terletak di lokasi terpencil di kawasan kampung yang sukar dikesan, bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan dijadikan markas transit bagi menempatkan migran yang baru menyeludup masuk.

Warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun, ujarnya.

Turut ditahan, seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berumur 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan tersebut.

Migran lelaki warga Bangladeh dibawa keluar dari premis yang dijadikan transit untuk pendatang asing tanpa izin.

Siasatan awal mendapati kesemua migran berkenaan telah memasuki negara ini sejak tiga hari lalu melalui laluan darat yang tidak diwartakan (jalan tikus) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka kemudian ditempatkan di premis tersebut sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya.

 

“JIM kini sedang giat mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan pihak sindiket dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat transit aktiviti penyeludupan migran.

“Individu berkenaanakan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670],” kata Zakaria lagi.

Risikan lanjut mendapati sindiket “Iqbal” ini telah aktif beroperasi sejak awal tahun 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal dengan dalang utama warga Bangladesh yang dikenali sebagai “Iqbal”, dan dipercayai beroperasi dari Thailand.

Sindiket ini mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu dan keuntungan keseluruhan yang diraih oleh sindiket ini dianggarkanmencecah RM1.5 juta hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Zakaria menambah, operasi ini turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Anggota JIM menyiasat dua lelaki migran yang ditempatkan di premis transit.

JIM telah memulakan siasatan lanjut bagi meneliti kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007 [Akta 670].

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

Katanya, tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

JIM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

Masyarakat juga digesa agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast