Kompleks Seri Perdana.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri, Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan serta ketua jabatan kerajaan memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini, bagi menghadiri taklimat pra persidangan Dewan Rakyat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenderaan membawa menteri dan Ahli Parlimen dilihat memasuki kompleks berkenaan bermula kira-kira pukul 1.30 tengahari, menjelang pertemuan yang dijadualkan pada pukul 2.30 petang tadi.

Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Turut kelihatan kenderaan membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Taklimat berkenaan diadakan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang akan bermula Isnin ini, dengan tumpuan utama terhadap istiadat pembukaan mesyuarat Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian kedua-dua Dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menurut sumber, pertemuan itu dijangka membincangkan isu semasa serta perkembangan dasar kerajaan, termasuk beberapa Rang Undang-Undang (RUU) utama yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

Antara RUU yang dijangka menjadi tumpuan ialah cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, selain RUU berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Perbincangan turut melibatkan RUU Ombudsman sebagai institusi akauntabiliti awam, selain RUU Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang dilihat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast