Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

BATU PAHAT- Impian seorang wanita warga China untuk meraih laba selepas dijanjikan hasil keuntungan yang tinggi melalui satu pelaburan musnah apabila menjadi mangsa scammer baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suri rumah yang berusia 35 tahun itu tertarik dengan pelaburan tersebut selepas dihubungi individu tidak dikenali Disember lalu.

“Individu berkenaan menawarkan satu pelaburan dengan kadar pulangan keuntungan tinggi.

“Mangsa yang berhubung melalui aplikasi WhatsApps kemudiannya berminat untuk menyertai pelaburan itu selepas diberikan penerangan serta janji akan memperolehi pendapatan lumayan bergantung pada jumlah wang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, bermula 14 Disember tahun lalu hingga 15 Januari, mangsa telah membuat transaksi ke dalam lima akaun berbeza secara berperingkat-peringkat berjumlah RM239,000.

Katanya, apabila mendapati telah memperolehi keuntungan berjumlah RM663,407, mangsa kemudiannya berhasrat untuk mengeluarkannya.

Bagaimanapun ujarnya, dia diminta membuat bayaran tambahan bagi membolehkan duit berkenaan dikeluarkan.

Shahrulanuar berkata, mangsa enggan membuat bayaran itu kerana merasakan dirinya telah tertipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Jelasnya, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas RM239,000 yang dilaburkan tidak mendapat sebarang pulangan selepas ‘kuntungan’ berjumlah RM663,407 juga gagal dituntut.

Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 1 hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai telah banyak kali dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan tinggi ini namun masih ada lagi yang terpengaruh dengan pelaburan tidak wujud seperti ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast