KUALA LUMPUR – Permohonan peruntukan berjumlah RM1.5 juta bagi menyiapkan pembangunan dan kerja naik taraf Masjid Laksamana Hang Tuah di Duyong, Melaka dijangka dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, permohonan itu akan dibawa oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, seorang wakil rakyat DAP.
Poay Tiong dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Menurut Mohd Noor Helmy, beliau telah memaklumkan kepada Poay Tiong mengenai permohonan tersebut yang telah melalui semua proses sewajarnya serta mematuhi tatakelola ditetapkan.
Menurutnya, pelbagai pihak dan figura berpengaruh yang memegang kuasa sebelum ini telah ditemui bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha berkenaan demi kepentingan rumah ibadah bersejarah itu.
“Khabarnya kertas permohonan tersebut telah sampai ke meja Perdana Menteri baru-baru ini. Saya berharap YB Khoo dapat membantu memujuk PMX agar menandatangani dan meluluskan permohonan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjemput Perdana Menteri meluangkan masa melawat Duyong sekiranya peruntukan tersebut diluluskan dan mengajak untuk menikmati juadah tempatan, kuih cakau ayam di sekitar Perigi Hang Tuah.
Poay Tiong, menurut beliau, telah memberikan maklum balas positif dan bersetuju untuk menyampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri dalam pertemuan yang dijadualkan.
Masjid Laksamana Hang Tuah merupakan antara mercu tanda penting di Duyong yang mempunyai nilai sejarah dan signifikan kepada komuniti setempat. – MalaysiaGazette
















