Saifuddin Nasution

SEPANG – Kualiti perkhidmatan di kaunter imigresen terutama di pintu masuk negara antara faktor utama untuk menentukan imej Malaysia di mata dunia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengalaman pelancong bermula sebaik mereka tiba di sini yang mana proses pelepasan akan memberi gambaran pertama terhadap kecekapan pentadbiran negara.

“Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Zakaria Shaaban) memainkan peranan penting kalau orang datang ke sini, dengan pengalaman dia untuk melepasi kaunter imigresen itu tak bagus maka tak cantik kita (imej negara).

“Sebab itu semalam saya bertanya pemilik restoran Smith & Wollensky bagaimana pengalaman dia (masuk Malaysia), dia kata sangat baik dan lancar, saya senang dengan perkhabaran itu.

“Datuk Seri Shuhaily pula tugasnya adalah jangan sampai bolos, nak masuk Malaysia boleh tapi mesti bersama dokumen sah,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan cawangan baharu Oriental Kopi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; dan Pengerusi Oriental Kopi Holdings Bhd (Oriental Kopi), Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Sementara itu, Hishammuddin Zaizi berkata, pembukaan cawangan Oriental Kopi di KLIA 1 penting bagi menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 (VMY2026) kerana ia merupakan pintu utama Malaysia menyambut jutaan pelancong dari seluruh dunia.

“Ini adalah lokasi strategik yang membolehkan pelancong merasai cita rasa Malaysia sebaik sahaja tiba, serta membawa pulang pengalaman tersebut sebagai kenangan.

“Budaya kopitiam telah lama berakar sebagai identiti tempatan yang mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, apabila pelbagai komuniti berkongsi meja dan rasa di bawah satu bumbung.

“Melalui Oriental Kopi, semangat ini dapat diterjemahkan di KLIA 1 pada skala global, apabila pelancong dari seluruh dunia menikmati hidangan ikonik Malaysia seperti Nasi Lemak, Kari Laksa dan Char Kuey Teow, menjadikan makanan sebagai medium untuk berkongsi Truly Malaysian Taste dengan dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast